ALOR SETAR: Kes jangkitan 'Japanese Encephalitis' (JE) di Kedah tidak membimbangkan walaupun mencatatkan tiga kematian sejak awal tahun ini, kata Exco Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Beliau berkata, keadaan masih terkawal, namun masyarakat di negeri ini dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengelak daripada dijangkiti virus itu.

Katanya, dari tempoh 1 Januari hingga hari ini sebanyak 10 kes jangkitan JE dilaporkan di Kedah dengan melibatkan tiga kes kematian.

"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah melaporkan dua kematian baharu akibatan jangkitan JE di daerah Kotar Setar pada 18 dan 25 November lalu dan satu kes maut (awal) tahun ini melibabtkan seorang kanak-kanak di daerah Pendang.

"Justeru, katanya, JKN negeri telah melaksanakan tindakan kawalan di kawasan yang telah dikenal pasti bagi mengelakkan wabak berkenaan menjangkiti lebih ramai orang selain mengawal pembiakan nyamuk Culex.

"Antara simptom JE termasuk demam, sakit kepala, sakit badan dan dalam sesetengah kes boleh menyebabkan pesakit koma sebelum meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis apresiasi sempena sambutan 'World Clean Up Day' dan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan Peringkat negeri di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.